Thursday, October 28, 2010

ARTIKEL 1 : Aplikasi seni dalam pengajaran.

Seni merupakan sesuatu yang subjektif untuk digambarkan. Seni itu indah dan halus. Seni bukan sahaja diaplikasikan dalam satu bidang tetapi dalam beberapa bidang seperti seni suara, seni tari dan seni lakon. Kesemua seni yang dinyatakan tadi merupakan seni yang memerlukan pergerakan, suara, dan ekspresi dalam melahirkan sesuatu yang indah dari dalam diri kita. Seni juga diaplikasikan dalam pengajaran. Pengajaran memerlukan pemahaman dan pemahaman memerlukan tarikan yang menarik dan kreatif. Seni yang disematkan dalam setiap pengajaran haruslah memberi satu nilai dalam jangka masa yang panjang dan memberi impak yang positif untuk seseorang individu.

Seni adalah hasil daripada kreatif dan kritis dari pemikiran seseorang manusia yang diolah secara halus dan sederhana”. (Pahlawi Web Al. Mei 2007). Kenyataan tadi mendefinisikan seni sebagai satu pergerakan yang dinamik dan pemikiran logik manusia yang diwujudkan melalui ketekunan dan kehalusan budi yang ditentukan oleh ilmu, moral, dan ketakwaan manusia terhadap sang pencipta. Seni juga merupakan satu disiplin ilmu yang bersama-sama terbentuk dalam mencapai kedewasaan akhlak dan tabiat seseorang muslim seperti jujur, rajin , taqwa serta sabar. Apabila dasar pembelajaran seni ini diterapkan, pembelajaran menjadi lebih lengkap dari pelbagai aspek.

Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen tersebut ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengari.

Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan. Tanpa warna kehidupan akan menjadi tidak bermakna. Semestinya, kehidupan akan menjadi bosan dan tidak menarik. Warna juga turut digunakan dalam seni dalam pendidikan iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual. Warna memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan sesebuah kebudayaan, emosi. dan maksud dalam karya seni visual.

Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Irama dapat dinyatakan sebagai rentak yang berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam kehidupan kita seharian, kita semestinya akan menemui pelbagai irama. Sebagai contoh bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di sinki dan sebagainya. Semua ini merupakan irama yang wujud disekeliling kita tanpa kita sedari dan kebanyakan ianya berlaku setiap masa.. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan corak yang berulang dan susunan sekata yang mewujudkan pergerakan. 

Sumber:
http://craziestcraftever.blogspot.com/2010/10/aplikasi-seni-dalam-pengajaran.html
Pengarang : Daniel putra

No comments:

Post a Comment