Wednesday, November 3, 2010

TUGASAN INDIVIDU : Seni Dengan Pendidikan Dalam Proses Pembelajaran Dan Pengajaran

Mengikut Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai ‘3 R’ iaitu membaca, menulis dan mengira. Penggunaan huruf ‘R’ adalah satu kata yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Namun begitu, sama ada kata-kata itu sesuai atau tidak, tujuannya tetap sama: seni perlu dijadikan ‘R’ keempat atau literasi asas selain membaca, menulis dan mengira. Ini kerana, Seni Dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
Bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih seronok dan difahami, guru boleh  menggunakan cara pengintegrasian Seni Dalam Pendidikan yang merangkumi bidang seni muzik, seni pergerakan dan seni visual dalam tajuk mata pelajaran yang diajar.
Sebagai contohnya dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Cina, guru boleh memilih untuk menggunakan cara pengintegrasian Seni Dalam Pendidikan dalam tajuk  yang dipilih iaitu ‘Keluarga’. Dalam tajuk ini, guru boleh  mengintegrasikan tajuk dengan Seni Visual dengan melakukan aktiviti melukis dan mewarna. Guru akan menunjukkan gambar ahli dalam keluarga  dan meminta murid-murid menyebut nama-nama ahli dalam keluarga yang ditunjukkan. Kemudian murid-murid diminta melukis gambar ahli  keluarga mereka  dengan menggunakan daya kreativiti mereka sendiri. Secara tidak langsung, integrasi dalam tajuk ini dapat meningkatkan lagi pemahaman dan pengekalan ingatan tajuk ini dalam minda pelajar dengan melukis gambar yang berkaitan.
Di samping itu, guru juga boleh mengintegrasikan tajuk ‘Keluarga’ dengan menyanyikan bersama-sama lagu yang berkaitan supaya murid-murid lebih mudah untuk mengingati isi tajuk yang ingin disampaikan. Guru boleh memilih untuk menyanyikan lagu ‘Sayangi Keluarga Kita’ beramai-ramai sambil membuat gaya pergerakan berdasarkan dengan lagu yang dipilih.
Aktiviti pergerakan yang dilakukan merupakan integrasi seni pergerakan dalam tajuk dan sekaligus memberi kecekapan psikomotor dalam  kalangan murid- murid. Kebosanan dapat dielakkan sebaliknya murid-murid berasa seronok untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran tajuk yang diajar. Kesemua bidang Seni Dalam Pendidikan iaitu seni visual, muzik dan pergerakan perlu diintegrasikan kerana ketiga-tiga subjek ini mempunyai motif dan tujuan yang sama. Pengintegrasian ini akan memperkukuhkan dan memantapkan lagi kefahaman pelajar tentang tajuk-tajuk yang diajar.
Pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabungjalin pelbagai unsur seni dan berbeza dari kaedah pengajaran tradisional yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media dalam penyampaian maklumat dapat menjadikan murid berasa lebih seronok. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar. Contohnya, kaedah belajar secara bermain dapat membina dan menjalinkan perhubungan sosial sesama murid. Di samping  itu, perhubungan sesama murid juga dapat bertambah mesra dan dapat bekerjasama melalui aktiviti-aktiviti permainan secara kumpulan. Ini turut membantu dalam penyemaian nilai-nilai murni di dalam diri dan meningkatkan motivasi untuk mengikuti proses pembelajaran.
Secara semulajadi, kebanyakan aktiviti Seni Dalam Pendidikan tidak dapat mengelakkan murid-murid daripada terlibat dalam kegiatan yang berunsur kerjasama. Aktiviti berkelompok menuntut setiap individu bergerak dan berinteraksi secara bekerjasama untuk mencapai kejayaan bersama . Aksi-aksi yang terdapat dalam Seni Dalam Pendidikan merangkumi aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan mempunyai titik tolak interaksi sosial yang terjalin melalui deria sentuh. Komunikasi deria sentuh ini mempunyai asas yang boleh menjalin perhubungan sesama manusia yang membawa kepada konsep perpaduan.
Apabila semua murid berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, maka akan terbentuk satu situasi ideal yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat sosial iaitu rasa ketermilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kelompok. Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih sayang. Dalam kegiatan Seni Dalam Pendidikan, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja mereka mempersembahkan aktiviti yang menarik. Perhubungan mesra antara murid dengan murid dapat mewujudkan suasana yang harmonis dan menyebabkan murid merasakan bahawa guru dan rakan-rakan prihatin terhadap dirinya dan menghargai bakat yang dimiliki.
Perasaan merupakan reaksi badan terhadap rangsangan yang diterima sama ada ia bersedia atau tidak. Di samping itu, perasaan juga mungkin dapat memberikan sumber manfaat dan kerugian kepada seseorang. Guru boleh mengagak perasaan sebenar murid melalui tingkah laku yang dipamerkan. Murid yang menyertai aktiviti-aktiviti seperti permainan boleh mewujudkan suasana keriangan, bebas daripada tekanan emosi dan membina kecekalan dalam menghadapi persaingan dan cabaran. Individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Oleh itu, setiap aktiviti yang dilakukan perlulah ada keyakinan supaya dapat menjamin keberkesanannya.
Konsep integrasi pada Seni Dalam Pendidikan ke arah pembangunan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Konsep ini membawa maksud bahawa penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran, bahasa dan pemupukan nilai-nilai murni dilakukan secara bersepadu dan menyeluruh. Ini membolehkan pelajar memperolehi kemahiran, mengembangkan bakat, nilai, pengetahuan, sikap dan amalan yang dikehendaki. Ia juga memperlihatkan kepada pelajar gambaran keseluruhan serta hubungkait antara satu perkara dengan perkara yang lain membentuk satu kerangka ilmu.

BIBLIOGRAFI :
Modul HBEF 1403 : Seni Dalam Pendidikan, Universiti Terbuka Malaysia,
           Kuala Lumpur.
Yusup Hashim (1996), Media Pengajaran Untuk Pendidikan Dan Latihan, Penerbit
          Fajar Bakti, Selangor Darul Ehsan.
Raja Sabaruddin Abdullah dan Suliman Miskon (1988), Panduan Teknologi
         Pendidikan, Kuala Lumpur, Progressive Products Supply.
Jason Ohler (2000) “Art.becomes the 4th R” didapati pada 15 September 2010 dari
www.jasonohl er.com/fourth r
Kesan-Kesan Positif Semasa Mengikuti Mata Pelajaran Seni Dalam Pendidikan. Diperolehi pada 17 september  2010 dari
http://www.scribd.com/doc/21216934/Seni-Dalam-Pendidikan

No comments:

Post a Comment

Post a Comment